Monday, March 30, 2009

HMt 329: Laporan Pengembaraan Ke Gurney

Satu penggembaraan menaiki bas ke Gurney telah diadakan pada 22 Mac yang lepas. Kami sekelas HMT 329 telah bersama-sama Dr. Radiah dan Cik Helina bertolak dari USM ke pusat Komtar pada awal pagi. Selepas itu, kami bersama-sama menunggu bas percuma (City Hop On Free). Objektif penggembaraan kali ini ialah melihat penggunaan bahasa di sekeliling persekitaran dan juga penggunaan bahasa peniaga di Gurney. Di sepanjang perjalanan, saya sempat memperhatikan keadaan di sekeliling perjalanan ke Komtar. Semasa di dalam bas ke Komtar, saya mendapati bahawa keadaan di sekeliling jalan raya adalah kurang sesat jika dibandingkan pada hari yang lain. Hal ini berlaku disebabkan hari itu ialah hari ahad dan orang tidak bekerja. Di samping menunggu bas percuma di pusat Komtar, kami memerhatikan papan tanda di sekeliling. Rakan-rakan mengambil gambar dan menangkap gambar bersama-sama.



Inilah papan tanda yang menunjukkan tempat persinggahan bas percuma oleh syarikat Rapid. Dapat diperhatikan bahawa papan tanda ini menunjukkan terdapatnya penggunaan dwibahasa pada papan tanda tersebut iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Penggunaan dwibahasa mungkin disebabkan bahasa Melayu yang merupakan bahasa Kebangsaan nagara kita dan juga bahasa Inggeris yang merupakan bahasa Antarabangsa. Kita dapat perhatikan penggunaan bahasa inggeris adalah penting selain penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda terutamanya di tempat pengunjungan pelancong asing. Terdapat ramai pelancong asing ditemui di dalam bas percuma. Hal ini kerana laluan basa percuma lebih kepada tempat-tempat pelancongan, contohnya Fort Corwallis. Kami telah berhenti di bas stesen berhampiran Fort Corwallis. Kami telah perhatikan papan tanda di sekeliling jalan raya semasa berjalan kaki menuju ke pintu besar Fort Corwallis. Papan tanda di sekeliling jalan raya telah menunjukkan penggunaan di- sebagai afiks serta preposisi.


Sebagai contoh, papan tanda di atas menunjukkan penggunaan afiks di- yang betul iaitu afiks di- dalam perkataan “dilarang” ditulis bergabung dengan kata dasar golongan kata kerja. Walau, bagaimanapun, kesilapan penggunaan afiks di- ditunjukkan di papan tanda di bawah.


Berdasarkan papan tanda di atas, dapat diperhatikan bahawa kata kerja “larang” telah ditulis terpisah dengan di- yang bertugas sebagai afiks. Jelaslah bahawa terdapat kesilapan penggunaan afiks di-. Selain itu, terdapat juga kesilapan penggunaan di- sebagai preposisi yang dapat diperlihatkan melalui papan tanda seperti berikut:


Papan tanda di atas menunjukkan papan tanda berbentuk pengumuman. Papan tanda di atas jelas menunjukkan kesilapan penggunaan preposisi di- kerana preposisi di- telah dijarakkan dengan keterangan tempat yang mengikutinya iaitu “sebelah”. Ia sepatutnya ditulis terpisah menjadi “di sebelah”.
Tanpa disedari kami telah sampai ke pintu besar Fort Cornwallis. Tetapi kebetulannya Fort Cornwallis tutup. Oleh yang demikian, kami telah berjalan kaki ke Jeti untuk menaiki bas ke Gurney. Setelah sampai ke Gurney, kami bersama-sama makan tengah hari terlebih dahulu. Di samping menikmati makanan kami juga tidak lupa memerhatikan papan tanda perniagaan di setiap gerai makanan. Kami dapat perhatikan bahawa semua papan tanda makanan menggunakan tulisan bahasa Inggeris dan bahasa Cina sahaja. Selain dari gerai nasi lemak, jarang ada gerai yang menggunakan tulisan bahasa Melayu.

Selepas makan tengah hari, kami pun berjalan bersama-sama ahli kumpulan kami. Semasa kami berjalan-jalan dalam kompleks Gurney, kami juga memperhatikan penjual di kedai. Kami mendapati bahawa terdapat penjual yang menjalankan promosi hanya mengeluarkan risalah mereka dalam versi bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris. Hal ini membawa kesulitan kepada rakan Melayu yang ingin mengetahui informasi promosi tersebut. Selain itu, kami juga dapat perhatikan bahawa ada sesetengah penjual di kedai sangat mesra. Mereka akan menyapa kami dengan “welcome” dan “thank you” semasa kami masuk dan keluar dari kedai tersebut. Walau bagaimanapun, juga terdapat penjual yang tidak mengambil peduli pelanggan langsung. Mereka hanya membiarkan pelanggan layan sendiri dan mereka juga tidak menyapa pelanggan dengan mesra. Dapat diperhatikan bahawa apabila bertemu dengan penjual yang mesra, kita akan lebih mempunyai keinginan untuk terus mengunjungi kedai tersebut.

Penjual di kedai-kedai biasanya akan menggunakan bahasa yang sesuai dengan
pelanggan-pelanggan. Sebagai contoh, apabila mereka bertemu dengan pelanggan cina, mereka akan menggunakan bahasa Mandarin. Manakala, mereka akan menggunakan bahasa Melayu kepada pelanggan Melayu. Fenomena ini dapat diperhatikan melalui penggunaan bahasa oleh penjual di bawah kompleks Gurney. Selain itu, terdapat penjual cina yang cenderung menggunakan bahasa Mandarin semasa mempromosikan barangan mereka. Contohnya, penjual seterika. Kami perhatikan bahawa penjual ini menggunakan bahasa Mandarin untuk mempromosikan seterikanya walaupun terdapat pelanggan berbangsa Melayu di belakang. Penjual tersebut hanya menggunakan bahasa Melayu apabila rakan Melayu menanyakan soalan kepadanya.

Ahli Kumpulan:
Liew Siew Foong-8
Mohd Hazrul-11
Siti Suhana-25

No comments: